Wednesday, 24 December 2014

Banjir Landa Pahang, 100 Pelancong Terperangkap Di Taman Negara


Lebih 100 pelancong dari luar negara dan tempatan terperangkap di Mutiara Taman Negara Resort setelah Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut, melepasi paras bahaya 76.56 meter (paras bahaya 68.00 meter).

Difahamkan paras itu yang tertinggi pernah dicatat selepas banjir besar pada 1971.

Keadaan itu juga menyebabkan arus deras dan jeti pelancongan Kuala Tahan terpaksa ditutup sehingga menyukarkan perkhidmatan bot untuk membawa keluar pelancong yang dijadual pulang pada hari ini.

Seorang kakitangan resort berkenaan yang enggan dikenali, berkata kesemua pelancong asing itu datang dari tujuh negara termasuk Kanada, Jerman, Perancis dan Belanda selain pelancong tempatan.

Beliau berkata pelancong terbabit sepatutnya pulang semalam, namun disebabkan hujan lebat, air sungai naik mendadak mengakibatkan hubungan terputus dan bekalan makanan pula habis.

"Namun kami tetap memastikan semua pelancong berkenaan berada dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Menurutnya mesyuarat khas diadakan petang ini dengan pihak yang berkaitan, termasuk polis dan Pejabat Daerah Jerantut, untuk membincangkan langkah yang perlu sementara operasi untuk mengeluarkan semua pelancong yang terlibat dilakukan.

Sementara itu, di Kuantan, lebih 5,000 penduduk di Sungai Lembing terperangkap setelah tiga jalan utama yang menghubungkan kawasan pelancongan itu dengan bandar Kuantan ditenggelami air sehingga 1.5 meter pada jarak 200 hingga 400 meter sejak tengah hari kelmarin.

Ketua Balai Polis Sungai Lembing Sarjan Mejar Arshad Yacob berkata tiga jalan terlibat ialah Jalan Sungai Lembing-Kuantan (Simpang Tiga Panching), KM31 Jalan Sungai Lembing-Kuantan dan Jalan Kampung Nadak.

"Jalan-jalan tersebut ditutup kepada kesemua jenis kenderaan menyebabkan penduduk terputus hubungan untuk keluar mendapatkan barangan keperluan di Kuantan.

"Jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir Balai Polis Sungai Lembing setakat ini ialah 10 mangsa daripada dua keluarga," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Penghulu Kampung Ulu Kuantan Roslan Amat berkata, Pekan Sungai Lembing mulai dinaiki air tengah hari kelmarinn sebelum surut jam 3 petang, namun kembali dinaiki air 4 petang sehingga mencecah paras dada pada tengah malam kelmarin.

"Walaupun terputus hubungan, namun bekalan barangan makanan setakat ini masih mencukupi untuk dua hari bagi penduduk yang terperangkap di Sungai Lembing.

"Dalam masa yang sama kita telah pun menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat meminta bekalan," katanya.

Sementara itu, pengusaha chalet pelancongan Time Capsule, Young Yeong Leong, 56, berkata dua pelanggannya turut terperangkap di Pekan Sungai Lembing dan beliau sendiri tidak dapat menghantar bekalan makanan sejak kelmarin.

"Saya difahamkan 30 pengunjung dan pelancong di sebuah chalet lain juga terperangkap," katanya.- Bernama